Oleh Omar Osman
Berita Harian Online
23 Jun 2008
SUNGAI PETANI: Seorang budak lelaki berusia setahun sembilan bulan maut digilis kereta yang dipandu bapanya sendiri, apabila dia terjatuh dari kenderaan itu ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan ke pusat beli-belah, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Mohd Firdaus Shahbuddin, dikatakan terjatuh selepas pintu belakang kereta dipandu bapanya, Shahbuddin Md Saad, 36, tiba-tiba terbuka ketika melalui selekoh di Kampung Kilang Makau, Pinang Tunggal, dekat sini. Ketika kejadian, mangsa bersama kakaknya, Aishah, 5, duduk di tempat duduk belakang kenderaan itu, manakala ibu mereka di depan. Ibu bapa Mohd Firdaus juga dikatakan hanya menyedari anak bongsu mereka terjatuh apabila Aishah menjerit memberitahu pintu kereta terbuka.
Jurucakap polis berkata, keluarga berkenaan yang tinggal di Kampung Sungai Seluang, Lunas dikatakan dalam perjalanan ke pusat beli-belah di Bakar Arang, dekat sini untuk membeli barangan keperluan. "Mangsa dipercayai terjatuh apabila pintu kereta jenis Mitsubishi Galant yang dipandu bapanya tiba-tiba terbuka ketika melalui satu selekoh menyebabkan dia tercampak lalu digilis tayar belakang kenderaan berkenaan. "Bapa mangsa yang segera memberhentikan keretanya selepas diberitahu anak bongsunya terjatuh, mendapati Mohd Firdaus terbaring dalam keadaan berlumuran darah kerana kecederaan di kepala dan badan," katanya di sini, semalam.
Jurucakap itu berkata, bapa mangsa yang terkejut dengan kejadian itu kemudian terpaksa mendapatkan bantuan orang ramai untuk menghantar anaknya ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), kerana dia terlalu terkejut sehingga tidak mampu memandu. Mohd Firdaus bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital dan mayatnya kemudian dibawa ke Jabatan Forensik HSAH untuk bedah siasat. Polis masih menyiasat bagaimana kejadian itu berlaku, terutama mencari punca pintu belakang kereta itu dikatakan terbuka sendiri ketika dipandu melalui selekoh berkenaan. Sementara itu, Shahbuddin yang ditemui pemberita di bilik mayat HSAH, enggan ditemubual kerana masih terkejut dan terlalu sedih dengan kejadian itu.
P/S: Takziah untuk keluarga mangsa. Aurora harap kejadian ini membuka mata masyarakat tentang betapa pentingnya penggunaan tali keledar serta tempat duduk kanak-kanak dalam kenderaan. Biar berbelanja lebih demi keselamatan anak.
No comments:
Post a Comment