Thursday, August 28, 2008

Elak polis urus Bank Data DNA

Utusan Online
28 Ogos 2008

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kerajaan disaran mengasingkan pengurusan dan kawalan terhadap Bank Data Forensik Asid Deoksiribonukleik (DNA) daripada pihak polis bagi mengelak tanggapan negatif serta kemungkinan berlaku penyalahgunaan data.

Datuk Halimah Mohd. Sadique (BNTenggara) berkata, Bank Data DNA yang akan ditubuhkan itu wajar diuruskan oleh agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Kimia supaya tidak berlaku konflik kepentingan.

''Saya tidak berniat mempertikai kewibawaan polis dalam hal ini tetapi bimbang akan timbul persepsi dan tohmahan yang jelas telah dibangkitkan oleh pembangkang yang tidak berfikir lain kecuali persepsi negatif kononnya polis akan menyalahgunakan data DNA," ujarnya.

Ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Identifikasi DNA 2008 pada Sidang Dewan Rakyat di sini hari ini, beliau berkata, peruntukan mengenai pelantikan Ketua Bank Data DNA dan timbalannya di kalangan pegawai kanan polis perlu dilihat semula oleh kerajaan.

Menurutnya, oleh kerana siasatan sesuatu kes jenayah melibatkan kerjasama antara polis dan pegawai pengurusan Bank Data DNA yang juga pegawai polis, maka ia boleh menimbulkan konflik kepentingan.

''Walaupun jawatan Ahli Kimia atau pegawai lain bukan polis boleh juga dilantik tetapi mereka tertakluk pada arahan Ketua Bank Data DNA iaitu pegawai polis," katanya.

Sementara itu, Dr. Tan Seng Giew (DAP-Kepong) berkata, rang undang-undang tersebut dikhuatiri menjadikan Malaysia sebuah 'negara polis' dan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis semakin terhakis.

Menurutnya, hampir kesemua perkara dalam pelaksanaan rang undang-undang itu melibatkan pasukan polis dan ia memberi imej kurang baik ketika rakyat meragui kewibawaan pasukan tersebut.

Katanya, kerajaan perlu melihat kebimbangan tersebut secara serius bagi menarik balik pembentangan rang undang-undang itu dan dirujukkan pada jawatankuasa pilihan khas bagi dikaji semula.

''Kita tidak mahu rasa berdosa apabila rang undang-undang ini diluluskan, kita mendakwa mereka yang tidak bersalah dan dihukum termasuk hukuman mati," ujarnya.

John Fernandez (DAP-Seremban) pula mempertikaikan Fasal 25 rang undang-undang itu yang memberi kekebalan kepada menteri dan pegawai Bank Data DNA dalam menjalankan tugas berkaitan, daripada tindakan, guaman dan dakwaan jika ia dilakukan dengan suci hati.

Menurutnya, peruntukan itu terlalu luas dan dikhuatiri kemungkinan berlaku salah guna kuasa.

Terdahulu, Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mempertikaikan keraguan pembangkang terhadap rang undang-undang itu kerana ia sebenarnya telah memberi jaminan terhadap demokrasi dan hak asasi manusia.

Selama ini, katanya, pihak berkuasa bertindak dalam hal berkaitan dengan DNA tanpa mempunyai akta yang khusus dan ia boleh menimbulkan keraguan.

Dalam perkembangan sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar menjelaskan, rang undang-undang itu tidak boleh dirujukkan ke jawatankuasa pilihan khas kerana ia telah dibacakan buat kali kedua dan sudah dibahaskan oleh ahli Dewan.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika ditemui memberitahu, beliau akan membuat keputusan esok sama ada rang undang-undang tersebut perlu dirujuk ke jawatankuasa pilihan atau perbahasan diteruskan.


P/S: Aurora bersetuju sekiranya Bank Data DNA ini diuruskan oleh Jabatan lain. Kalau Polis ia pasti akan menimbulkan pelbagai masalah dari semua sudut. Aurora juga rasa Rang Undang-undang DNA ini patut dikaji dan di"study" dengan lebih mendalam supaya tiada loop hole.






1 comment:

  1. This article reminds me of a documentary about "INDIA" that aired over History Channel.Such a huge impact on me seing public/civilians losing faith towards authorities (namely Police Dept)!

    ReplyDelete