Tuesday, May 13, 2008

Flat DBKL untuk bekas tentera, polis

Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 12 Mei - Tiga peratus daripada jumlah unit rumah di Projek Perumahan Awam (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini diutamakan untuk pesara tentera dan polis.

Penasihat Kelab Veteran Komando Malaysia (KVKM), Datuk Abdul Rahim Dahalan berkata, perkara itu telah dipersetujui oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique dalam pertemuan mereka semalam.Menurutnya, langkah itu diambil bagi memastikan pesara pasukan keselamatan itu dapat menjalani kehidupan yang selesa selepas tidak lagi bekerja.

"Beliau (Zulhasnan) memberitahu bahawa pihaknya telah meluluskan dasar itu. Oleh itu, sesiapa yang fikir mereka layak, kini boleh memohon kepada DBKL.
"Tetapi, setiap permohonan akan diteliti oleh satu jawatankuasa DBKL berkenaan hal itu," katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Agung KVKM 2008 cawangan Wilayah Persekutuan di sini semalam.

Turut hadir, Presiden KVKM, Leftenan Kolonel (B) Nik Omar Al Haded Nik Mohamed Salleh dan Presiden KVKM Wilayah Persekutuan, Kapten (B) Mohd. Ali Shamsudin.Abdul Rahim menambah, antara perkara yang akan diteliti dalam proses kelulusan rumah PPR untuk pesara tentera dan polis ialah pendapatan terkini dan bilangan ahli keluarga pemohon.Katanya, peruntukan tiga peratus itu adalah satu jumlah yang besar dan berharap ia memberi manfaat kepada bekas-bekas tentera dan polis serta ahli keluarga mereka.

Ditanya mengenai bilangan sebenar unit PPR DBKL yang akan terlibat, beliau berkata, pihaknya belum lagi menerima ataupun membuat kiraan sebenar tetapi percaya ia mencecah ribuan unit. Dalam perkembangan lain, Mohd. Ali berkata, anggota-anggota KVKM khususnya cawangan Wilayah Persekutuan bersedia memberikan perkhidmatan kepada kerajaan khususnya semasa ketidak tentuan politik kebelakangan ini.

Menurutnya, ahli-ahli KVKM boleh membantu kerajaan termasuklah dari segi menjalankan operasi-operasi khas serta melaksanakan perang psikologi.Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana menyediakan pelbagai kemudahan kepada pesara tentera dan polis termasuk yang terbaru, unit rumah PPR.
P/S: Aurora harap ini bukan hanya cakap kosong sahaja. Pastikan yang berhak mendapat hak mereka.

No comments:

Post a Comment