Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
KUALA LUMPUR 22 Okt. – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperuntukkan RM17 juta bagi menambah baik kemudahan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) pada perkhidmatan komuternya.
Pengurus Besar Perkhidmatan Komuter KTMB, Mohd. Zain Mat Taha berkata, penambahbaikan tersebut dilaksanakan bagi memberi lebih keselesaan kepada pengguna golongan OKU serta menggalakkan mereka menggunakan pengangkutan awam.
Katanya, peruntukan tersebut melibatkan penambahbaikan di lapan buah stesen komuter di sekitar Lembah Klang.
Katanya, peruntukan tersebut melibatkan penambahbaikan di lapan buah stesen komuter di sekitar Lembah Klang.
Ujarnya, penambahbaikan tersebut merangkumi pembinaan laluan untuk kerusi roda, lif penumpang, tandas OKU, pemasangan jubin jenis tact tiles dan baik pulih sistem pembesar suara.“Setakat ini, lapan stesen sahaja yang akan dilaksanakan penambahbaikan itu dan enam daripadanya sudah siap iaitu di stesen Kepong Sentral, Mid Valley, Subang Jaya, Kajang, Bank Negara dan Seremban manakala stesen Rawang dan Nilai dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan."
“Bagaimanapun, bagi pemasangan tact tiles, ia akan melibatkan semua stesen komuter dan setakat ini, 60 peratus kerja pemasangan telah disiapkan,” katanya ketika sidang akhbar selepas menghadiri majlis Sambutan Aidilfitri KTM Komuter 2008 bersama anak istimewa di Stesen Sentral Kuala Lumpur di sini.
Mengulas lanjut, Mohd. Zain berkata, kemudahan bagi golongan OKU tersebut akan dilaksanakan di seluruh stesen termasuk stesen baru seperti ke Senawang dan Sungai Gadut dan dijangka siap pada 2012.
Jelasnya, bagi fasa pertama, penambahbaikan kemudahan tersebut akan melibatkan laluan dari Rawang ke Seremban dan Sentul ke Port Klang sahaja.“KTMB akan menambah baik kemudahan ini secara berterusan bagi memberi peluang golongan OKU menikmati kemudahan perkhidmatan komuter seperti insan normal."
“Selain itu, ia juga adalah sebahagian tanggungjawab KTMB sebagai tanda keprihatinan terhadap pengguna daripada golongan OKU ini,” jelasnya.Dalam pada itu, pada majlis tersebut, seramai 39 pelajar istimewa dari lima sekolah di sekitar Seremban diraikan oleh KTMB.
Selain jamuan makan, pelajar berkenaan diberi peluang mengasah bakat dengan menyertai aktiviti pertandingan mewarna dan menyusun puzzle khas yang disediakan KTMB.
Sempena majlis tersebut, pelajar berkenaan turut diberi peluang merasai pengalaman menaiki TM Komuter.
P/S: Aurora sangat-sangat menyokong tindakan ini. Sepatutnya seluruh Kuala Lumpur dijadikan OKU friendly. OKU friendly bukan sahaja memberi keuntungan kepada golongan OKU, tetapi juga kepada para Ibu-Bapa yang mempunyai anak kecil yang masih menggunakan Stroller. Jika bandaraya kita ini OKU Friendly, pasti semua dapat merasa kesenangannya dan lebih ramai orang boleh berjalan-jalan di sekitar bandaraya tanpa menaikki kenderaan sendiri....